Kadang-kadang seorang penulis yang telah meletakkan niat baik sebelum memulakan penulisannya boleh terpujuk untuk menulis sedikit pembohongan. Kadang-kadang seorang pembaca apabila membaca sesuatu tulisan boleh terasa sangsi atau ragu-ragu terhadap fakta atau maklumat yang disajikan. Kadang-kadang pembaca tidak terkesan dengan bahan yang disajikan kerana gaya penulisan yang digunakan tidak dapat menyampaikan maksud penulis. Jadi, amat penting bagi seorang penulis untuk berlaku jujur dalam tulisannya. Kejujuran itu akan meletakkan nilai kesolehan pada amal menulis yang dijalankan. Sehubungan itu, e-buku ini ditulis sebagai bekalan ruhiyah seorang penulis. Tajuk kejujuran ini dibentangkan dari beberapa aspek iaitu pandangan Islam berkenaan kejujuran (Bab 1), kesan kejujuran pada pembaca (Bab 2), impak kejujuran pada pembangunan diri penulis (Bab 3), jenis-jenis kejujuran (Bab 4), dan ganjaran bagi kejujuran (Bab 5). Moga e-buku bermanfaat kepada semua penulis dan pembaca.